Monday, September 18, 2006

Gula

Oh.... di mana kau gula?
Bukankah kata perpatah, di situ ada gula, di situlah ada semut? Namun sejak kebelakangan ini, boleh dikatakan di mana ada gula, di situ berkerumanan para pembeli. Masalah kekurangan gula ini telah melanda negara kita sejak awal tahun ini lagi. Pelbagai alasan, dolak-dalih dan nasihat diberikan oleh para pemimpin kita berkenaan isu kekurangan gula di pasaran.
Pada bulan Mac tahun ini, alasan yang diberi oleh memanda menteri Shafie yang tidak kurang Afdal adalah keadaan pasaran gula dunia sekarang yang kian runcing. Menurutnya, pengeluaran tebu (bahan utama untuk buat gula) di Queensland, Australian menurun akibat kebakaran ladang tebu di sana dan Brazil, negara pengeluar tebu, telah menggunakan tebu sebagai bahan
untuk menghasilkan bahan api ethanol. Malah menurut si memanda menteri ini, keadaan jadi lebih teruk lagi apabila wujud penyeludupan bahan terkawal ini (gula) dari Malaysia ke luar negara (di mana harga lebih tinggi, memandangkan senario pasaran gula). Beliau juga berjanji akan terus memantau dan memastikan sentiasa ada gula di pasaran. Beliau juga memberi amaran kepada pengeluar gula untuk tidak sembunyikan gula dan memastikan bekalan yang mencukupi ada di pasaran.
Pada bulan Jun tahun ini, memanda timbalan perdana menteri menggariskan 2 cara untuk mengatasi masalah bekalan gula. Beliau menyarankan supaya kementerian memberhentikan segala usaha penyeludupan gula dan menasihatkan rakyat untuk kurangkan penggunaan gula demi kesihatan mereka sendiri. Pelik bin ajaib, perkara seumpana ini tidak pernah disarankan sebelum negara ini dilanda gawat gula.
Dalam masa yang sama, syarikat pembekal gula PPB Group Berhad telah menafikan bahawa syarikat mereka bertanggungjawab atas kekurangan gula di pasaran. Beliau berkata, musim hujan pada akhir tahun 2005 di ladang tebu syarikat itu di Chuping telah menyebabkan tebu yang tumbuh tidak sesuai untuk diproseskan jadi gula. Menurutnya sebayak 30% tebu yang matang tidak dapat digunakan untuk diproseskan menjadikan gula. Oleh itu, menurut beliau, PPB Group hanya mampu membekalkan 230 ribu metrik tan tebu berbanding 270 ribu metrik tan tebu kepada Kilang Gula Felda Perlis bagi tempoh Disember 2005 dan Mei 2006.
Kemudiannya pada bulan Julai tahun ini, si memanda menteri ini memberi kenyataan sekali lagi
berhubung dengan isu kekurangan bekalan gula di pasaran. Menurut beliau, semasa dalam sidang akhbar selepas merasmikan National Symposium o­n Intellectual Property (IP) Education, Training and Research di Kuala Lumpur, beliau mengatakan situasi (bekalan gula) sekarang sudah stabil.
Selepas itu, pada 24 Julai, semasa menjawab soalan daripada senator di Dewan Negara, memanda menteri ini mengatakan situasi kekurangan gula di negara kita adalah akibat permintaan tinggi pengguna. (Mungkin kerana menurut nasihat TPM agar kita ubah gaya hidup, maka lebih ramai makan gula dari makan nasi).
Kemudiannya pada 29 Ogos, memanda menteri itu kata kerajaan tengah menimbangkan untuk membeli gula dari Brazil, negara pengeluar gula utama dunia. Beliau berkata kementerian tengah menimbangkan beberapa langkah untuk memastikan kekurangan gula ini tidak lagi menjadi satu isu. Menurut beliau lagi, satu pasukan telah dihantar ke New Zealand untuk membeli gula dan beberapa lagi pasukan akan dihantar ke Australia, China dan Fiji atas tujuan sama.
Hai, apa mau jadi. Pada mulanya kemelut diesel, kemudiannya isu harga petrol naik di mana kementerian berjanji akan memantau peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga.
Kemudiannya sekarang kekurangan gula pula. Saya makin afdal jadinya. Saya mula garu kepala saya.
Gula oh gula,
di manakah engkau?

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home