Wednesday, August 30, 2006

Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan

Bila jam masuk pukul 12 malam pada malam ini, negara kita akan menyambut Hari Kebangsaan (National Day)/Hari Kemerdekaan (Independence Day) yang ke-49. Pembaca mungkin tertanya-tertanya mengapa saya menggunakan 2 istilah untuk hari keramat negara, iaitu Hari Kebangsaan dan Hari Kemerdekaan. Ini kerana, saya sendiri pun keliru. Ada orang menggelarkan hari itu sebagai Hari Kebangsaan, ada pula yang memanggilnya Hari Kemerdekaan. Namun apa sekali pun, erti sebenar hari itu lebih penting lagi dari segalanya.
Saban hari saya lihat, sambutan tahun ini kurang meriah. Mungkin kerana sambutan tahun ini diadakan di Kuching, Sarawak. Segelintir orang yang saya temui juga beritahu saya sambutan tahun ini hambar disebabkan kehimpitan ekonomi yang melanda mereka. Ada yang memberitahu dengan nada sinis, "Apalah gunanya kita kibarkan bendera, sedangkan nak cari makan pun susah. Kita ikut nasihat kerajaan, ubah gaya hidup kita'. Entahlah apa yang saya nak katakan. Nak salahkan mereka pun tidak, nak salahkan kerajaan pun serba salah.
Dalam perjalanan 49 tahun ini, saya pasti negara kita telah melihat beberapa perubahan baik dari segi ekonomi, pembangunan sosial dan fizikal. Mungkin disebabkan saya masih muda lagi, tak pernah lalui masa keperitan di bawah pemerintah Jepun atau British, saya kurang erti pasal
perjuangan merdeka. Dan apabila YB Komala Devi, Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran menjawab soalan YB Wee Ka Siong tentang beberapa fakta sejarah yang dimuatkan dalam buku teks sejarah sekolah menengah mengatakan bahawa penyelidikan yang dilakukan telah menunjukkan pelajar sekarang kurang minat dengan sejarah dan sukar bagi mereka untuk memahami fakta-fakta. Apa mereka buat cumalah menghafal fakta tanpa menghayatinya dan disebabkan itulah, kerajaan mengambil keputusan untuk menggabungkan (consolidate) fakta untuk memudahkan dan menjadikan subjek ini menarik. Di sini saya kurang mengerti. Adakah kita sebagai rakyat Malaysia sering menggunakan pendekatan ambil jalan mudah untuk menyelesaikan sesuatu? Apakah untuk memudahkan rakyat kita, kita boleh sewenang-wenangnya meringkaskan sejarah kita. Apa kata YB kita buat buku sejarah piktorial? Lagi mudah, kan? Dan pelajar sudah tak perlu banyak membaca.
Apabila bekas perdana menteri menyelar tindakan Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan kerajaan, kerajaan kita juga mengambil pendekatan mudah untuk cuba menyelesaikan perseketaan antara dua gergasi ini. Semua pertanyaan yang dikemukakan oleh bekas pm itu dijawab tanpa diiringi dengan fakta-fakta (factual backing). Apa yang cuma dikatakan adalah kata-kata abstrak (abstract). Mungkin disebabkan rakyat mudah dikelirukan oleh fakta-fakta, maka adalah lebih baiknya kerajaan memberi jawapan tanpa disokong mana-mana fakta.
Dan apabila kita sebut pasal semangat patriotisme, pemimpin kita juga mengambil pendekatan mudah untuk menyelar mereka yang tidak mengibar bendera pada hari kebangsaan sebagai satu perbuatan yang kurang patriotik. Mungkin bagi pemimpin-pemimpin ini mengibar bendera adalah lebih patriotik dari mengkritik kerajaan secara membina. Dan apabila tindakan menyelar dan mengkritik kerajaan dan pemimpin dilabel sebagai kurang patriotik, maka ini sudah terpesong dari fakta kesetian dan patriotik terhadap negara. Orang British ada perpatah for king and country. Tak pernah mereka kata for Gorvenment and Country. Sebab dalam kerajaan berajakan perlembagaan, government ataupun kerajaan ditelah diamanahkan tugas oleh Baginda Raja untuk menguruskan segala perjalanan harian jentera kerajaan atas nama Baginda Raja. Mungkin sang menteri-menteri juga sedang keliru dengan fakta ini juga.
Dari sebuah negara muda pada tahun 1957, negara kita pada hari ini boleh dikatakan sudah matang. 49 tahun bagi seorang manusia adalah satu perjalanan hidup yang agak lama, mungkin penuh liku-liku. Negara kita boleh dikatakan aman dan makmur, kecuali cuma berlaku sedikit kekecohan pada Mei 1969 dan juga pada tahun 1999.
Saya harap dan berdoa agar negara kita dihindari segala kecelakaan dan bencana. Saya harap juga kekeliruan tentang hari kebangsaan (national day) dan hari kemerdekaan (independence day) juga boleh diperjelaskan juga.
Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!
(soalan fakta : Berapa kalikah Tunku jerit Merdeka pada 31 Ogos 1957?)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home